Dua Lelaki Cipta Kolam Renang!

Posted on 15 views

Pasti ada di antara anda yang pernah mandi di kolam renang bukan? Tidak kiralah sama ada di rumah sendiri, di hotel mahupun di kawasan-kawasan beriadah.

Namun, pernahkah anda melihat proses pembinaan sesebuah kolam renang? Dengan adanya teknologi dan penggunaan jentera moden di zaman ini, kerja-kerja berat itu menjadi lebih mudah.

Apa yang menjadikan video ini lebih mengagumkan adalah kedua-dua lelaki tersebut membina kolam berkenaan tanpa menggunakan sebarang teknologi canggih. Malah, mereka lebih cenderung untuk menggunakan kaedah tradisional dengan penggunaan dahan kayu, lumpur dan air dari sumber semula jadi!

Pembinaan kolam ini dimulakan dengan mencorak bentuk rama-rama di atas tanah sebelum mengorek tanah berkenaan. Tanpa menggunakan alat seperti cangkul dan jentera pengorek, kedua-duanya gigih mengorek dan memindahkan tanah itu dengan hanya menggunakan dahan kayu dan tangan mereka sendiri!

Setelah berjaya mendapatkan bentuk lakaran kolam itu, mereka mula mengorek tanah dengan lebih dalam.

Kemudian, mereka mula mengumpulkan lumpur tanah untuk diletakkan pada bahagian dasar dan tebing kolam berkenaan.

Sebelum meletakkan lumpur itu, mereka telah membuat lubang kecil khas bagi tujuan menghasilkan campuran kapur. Setelah itu, lumpur yang telah dikumpulkan tadi akan dicampur bersama air kapur untuk menjadikannya seperti simen.

Proses seterusnya melibatkan proses meratakan simen tadi pada bahagian tebing dan dasar kolam. Proses tersebut dilakukan dengan penuh ketelitian dan hanya menggunakan tangan serta kayu untuk meratakan simen tersebut. Cara ini membolehkan hasil akhir simen itu bukan sahaja kelihatan rata dan licin tetapi juga menjadi agen pengukuh kepada bentuk kolam.

Ternyata, proses meratakan simen ke seluruh bahagian kolam ini mengambil masa yang agak lama. Dari siang hingga ke malam, kedua-dua lelaki ini kelihatan tidak henti-henti meratakan simen bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Keesokan harinya apabila simen sudah mengering dan menjadi keras, tiba pula masa untuk melakukan langkah seterusnya. Bagi menambah nilai kreativiti pada kolam tersebut, mereka telah membelah buluh kepada beberapa bahagian untuk diletakkan di sekeling kolam.

Seterusnya, mereka mula membina jambatan untuk merentangi kolam berbentuk rama-rama itu dengan menggunakan batang buluh dan juga batang kayu yang keras.

Lebihan batang buluh yang telah dibelah tadi turut digunakan untuk dijadikan sebagai laluan pemijak yang kukuh pada jambatan mini tersebut. Batang-batang buluh ini diikat dengan kukuh menggunakan dahan kayu lembut.

Setelah siap, kini masanya untuk mengisi kolam tersebut dengan air. Memandangkan keseluruhan proses untuk membina kolam renang rama-rama ini menggunakan 100% sumber semula jadi dan alat tradisional, maka air untuk mengisi kolam ini juga haruslah daripada sumber semula jadi juga.

Mereka telah membina laluan air daripada batang buluh untuk mengairi kolam tersebut dengan air sungai berdekatan.

Laluan air daripada buluh itu dibina bersambung antara satu sama lain. Lama-kelamaan, kolam ini akhirnya dipenuhi dengan air sungai yang bukan sahaja bersih tetapi juga menyegarkan!

Namun, ini bukanlah proses yang terakhir. Tidak lengkaplah kolam rama-rama ini tanpa ada kepala dan sesungutnya bukan? Jadi, dengan menyusun batu-batu kecil dan menjadikan ranting kayu sebagai sesungut, hasil akhir kolam ini ternyata kelihatan sangat realistik seperti seekor rama-rama gergasi!

Setelah penat bertungkus-lumus dan mengerah empat keringat untuk mencipta kolam renang ini, kedua-dua lelaki itu nampaknya memberikan ganjaran kepada diri sendiri dengan menikmati pengalaman mandi di kolam renang rama-rama ciptaan mereka.

Ternyata, segala penat lelah amat berbaloi setelah berpeluang menjadi individu pertama dan kedua yang merasmikan kolam renang semula jadi itu.

Satu ciptaan yang bukan sahaja unik tetapi juga kreatif dan mengagumkan!

Sumber: Viral TRND/Facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *