“Dalam Hal Ini, Nabil & Lofa Tidak Bersalah” Joe Aziz Mohon Maaf

Posted on 15 views

Pelawak Joe Aziz memohon maaf atas isu yang tercetus antara dirinya dan pengacara MeleTOP, Nabil Ahmad dan Neelofa.

Timbul dakwaan yang mengatakan Nabil dan Neelofa seakan mahu menghalau Joe ketika program MeleTOP sedang berlangsung.

Episod MeleTOP yang disiarkan pada Selasa lalu menjemput penyanyi Faizal Tahir sebagai artis undangan.

Joe hadir sebagai kejutan sebelum Faizal dijemput masuk dan kedua-dua hos tidak tahu mengenai perancangan tersebut.

Akibat salah faham yang terjadi, netizen mula memberikan kecaman terhadap Nabil serta Neelofa dan mendakwa mereka seakan mahu menghalau Joe.

Menerusi entri terbaru di laman Instagram milik Joe, pelawak itu memuat naik sebuah video untuk menjernihkan keadaan.

“Dikesempatan ini saya ingin memohon maaf, terutamanya kepada hos MeleTOP, Nabil dan Neelofa.

“Ramai yang sebenarnya bertanya kepada saya, mengenai status saya, ramai yang kecam tindakan Nabil dan Neelofa.

“Baik, saya nak bagi tahu, Nabil dan Neelofa tak tahu menahu pun mengenai kehadiran saya dan mereka tak bersalah langsung.

“Jadi mungkin status saya tu, saya rasa syok sendiri, mungkin saya terasa hati, sedangkan nak jadi pelawak, tak perlulah terasa hati.

“Apa pun, sekali lagi saya mahu memohon maaf kepada Nabil. Kepada kawan-kawan dan you all semua, jangan kecam dia, sama-sama kita mencari rezeki.

“Insya-Allah, niat yang baik, Allah permudahkan,” kata Joe.

Difahamkan, situasi sebenar ialah pihak produksi telah memaklumkan Joe untuk hadir sebagai penyamar kepada Faizal.

Mengikut plan asal, Joe harus menyamar seperti Faizal sehinggalah Nabil dan Neelofa dapat tahu yang dia bukanlah Faizal yang sebenar.

Namun begitu, atas beberapa kekeliruan, Joe masuk dan memperkenalkan dirinya sebagai Joe Aziz dan memaklumkan kepada semua yang Faizal tidak dapat hadir.

Apabila dia memperkenalkan dirinya sebagai Joe Aziz, keadaan menjadi sedikit kekok dan pihak produksi mengarahkan Faizal untuk masuk ke set MeleTOP.

Akhirnya, apabila Faizal masuk, tumpuan semua pihak beralih kepada Faizal dan menyebabkan situasi tersebut berlaku.

Untuk rekod, Joe pernah menyertai Raja Lawak 2 tetapi tidak berjaya memasuki senarai ‘top 10’.

Tidak berputus asa, Joe mencuba nasib dalam program Lawak King pada 2008.

Kepada yang belum pernah mengenali Joe, selain memiliki wajah seiras Faizal, pelawak berusia 33 tahun ini juga mempunyai bakat meniru suara dan gaya tokoh serta selebriti ternama.

Antaranya ialah bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, Zizan Razak, Zamani (Slam) dan ramai lagi.

Sumber : gempa.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *